Bila budak-budak berlari, selalu sungguh aku dengar orang tua-tua kata...
"Haaa, lari lagi. Jatuh baru padan muka. Orang cakap semua tak mahu dengar."
Dan 5 minit selepas itu, memang budak itu jatuh. Selalunya menangislah. Tapi kalau yang keras hati sedikit, mungkin mencebik tidak puas hati pada orang tua tadi.
Bila budak-budak kampung nak minta bola takraw atau bola sepak dengan penghulu...
"Alah, membazir duit aje beli bola tu semua. Kau orang main sekejap, lepas itu bola hilang, mintak lagi. Haish, kalau nak sangat, tunggu aku mintak dengan tok wakil."
Tunggu punya tunggu punya tunggu, bola tak sampai-sampai. Akhirnya, budak-budak kampung kumpul duit sendiri (mintak seringgit seorang bila nak beli bola).
Bila seorang lelaki nak berkahwin...
"Amboih, cepat betul nak kahwin. Kamu nak bagi makan apa anak dara orang tu? Pasir? Nak beli rokok mintak duit dengan aku, ada hati nak kahwin." Sambil hembus asap rokok kaw-kaw punya depan batang hidung!
Lalu si lelaki ini kahwin lari dengan perempuan itu. Heboh dan malu satu kampung. Yang malu, keluarga belah lelaki dan perempuan itu juga.
Aku tidaklah kata semua orang tua itu begitu. Tapi norma masyarakat kita memang diajar dengan cara 'memberi nasihat' dalam bentuk yang kalau aku boleh sebut, menjatuhkan semangat dan maruah. Langsung tidak membina. Seolah-olah sesuatu hal yang berlaku dalam hidup itu, takkan ada naturaliti, takkan ada pro dan con. Semua akan menuju satu destinasi, yakni yang tak baik. Yang tak elok.
Apalah salah kiranya budak yang tengah berlari itu diberi nasihat sebegini...
"Kalau nak berlari, jangan berlari di kawasan banyak tiang, banyak bucu. Berlari tempat lapang. Jangan menangis kalau jatuh. Orang lelaki tak boleh menangis kalau jatuh."
Aku rasa kalau bagi nasihat sebegini, confirm budak itu akan dengar. Sebab apa? Sebab kita tidak menghalang apa yang dia suka buat, berlari. Sebaliknya kita bagi nasihat supaya dia beringat dan tidak mudah putus asa dalam apa yang nak dibuat.
Budak-budak kampung nak main bola. Apalah salahnya kalau...
"Aku bukan tak nak bagi bola. Tapi apa kata kau orang kumpul duit sendiri dahulu. Kalau tak cukup, bagitahu. Bila dah ada bola, seorang kena jaga amanah, jaga bola. Baru tahan lama."
Bukankah lebih baik begitu? Fikiran budak-budak ini sampai mana sangatlah. Sebab itulah perlunya ada orang tua yang berfikiran matang untuk menunjuk dan memberi contoh apa itu makna nilai murni dalam diri. Mengutuk dan merendah-rendahlan usaha orang-orang muda tak bawa apa-apa kebaikan pun. Habis-habis, kena ludah depan mata. Nak melawan tak mampu sebab kudrat dah tak ada. Cubalah didik pakai kata-kata yang bijaksana. Berhikmah. Jangan hanya berhikmah bila lihat bini sudah saiz besar, cadang jual tanah nak cari 'pucuk muda'.
Anak lelaki yang merasakan dirinya sudah wajib berkahwin, wajib dikahwinkan. Bukan dipukul dengan kata-kata yang menginjak-injak maruah.
Cubalah dengan lembut dan penuh hormat.
"Kita lelaki bila ingin berkahwin, harus fikir 3 4 langkah ke hadapan, lebih dari orang perempuan. Mana nak cari duit rumah, mana nak cari duit makan pakai, mana nak cari duit anak isteri berbelanja. Bila sudah berdua, fikiran dan tanggungjawab pun berganda. Orang lelaki kena fikir semua itu. Sebab itu ilmu agama mesti ada terselit celah dada. Baru kuat nak jadi tempat anak dan isteri bergantung bila susah dan senang..."
Bukankah lebih sedap didengar? Jangan dihalang, sebaliknya buka jalan dan biarkan anak muda itu berfikir. Hidupnya sudah ada, jadi jangan jadi batu tercangkung di tengah jalan, sebaliknya jadi cahaya menyuluh bila tersalah langkah. Orang muda tersalah langkah, bukankah itu perkara biasa? Apa orang tua syumul sangatkah sampai orang muda tak boleh salah langsung?