(BBQ kecil-kecilan... yang makan, besar-besaran!)


Setiap kali ingin menulis post sebegini, mesti aku akan terfikir 2 3 kali akan baik buruknya. Bimbang kalau-kalau memberi persepri negatif pada orang lain tentang diri sendiri. Memanglah kadang-kadang mengelak macam mana pun kalau benda sudah hendak jadi, jadi juga. Tapi tak apalah, baca dan lupa. Tulis dan lupa. Prinsip mudah untuk apa jua penyelesaian walaupun bukan yang mutakhir.

Nak dijadikan cerita, satu hari itu abang aku terasa hendak buat BBQ di rumah. Tak adalah ramai yang datang melainkan kaum keluarga dan sahabat handailah juga adanya. Jadinya disebabkan aku ni bukanlah banyak kerja sangat pun cuti-cuti begini, maka aku pun sampailah awal sedikit dari biasa. Tolong-tolong pasangkan griller, cucuk sate dengan bahan-bahan bbq dan hidupkan api. Tak adalah susah maca sebab anak-anak saudara pun ada orang yang ringan tulang. Jadi lagi 20-30 minit nak maghrib, semua dah settle. Tinggal nak bakar sate dan letak ayam sama daging sama sosej atas api yang membara. Buat BBQ pulak dekat luar rumah yang lapang, cukup syok dengan angin sepoi-sepoi. Layan!

Dalam 30 minit lepas tu, tengah sedap-sedap dok bakar ayam tu tetiba sampailah sebuah Mercedes berplet ehem-ehem, tak payah ceritalah! Aku kaget sekejap sebab aku rasa macam kenal perempuan dalam kereta tu. Dalam dok sibuk-sibuk dengan asap tu, sempatlah jeling sekali dua sebab nak confirm kan betul ke tidak tekaan aku. Hmm, memang sah aku kenal dia. Lama sangat dah tak jumpa, patut aku dah lupa. Walhal, tak pernah terfikir pun akan jumpa dia balik. Jumpa dulu masa aku darjah 1 atau 2, dan dia setahun lebih muda dari aku. Jadinya, bila jumpa balik, lebih baiklah buat-buat senyum tanda kenal sebab rasanya dia pun dah lupa aku macam mana sekarang.

Tengah sedap-sedap layan bakar, tetiba...

"Eh awak, dah ada ayam yang siap masak?" Dia bongkokkan badan sambil pegang pinggan kertas.

"Err, kejap. Sikit lagi. Tadi dah bagi kan?

"Aah. Tapi dah habis. Ramai kat sana."

"Ooo. Tungguhlah kejap. Dah nak masak dah ni." Gugup. Aish!

"Awak ni Pie kan? Ke salah orang?"

"Haha. Aah, betullah tu. Lama gila tak jumpa. Study mana sekarang?"

"Aah la. Masa kecik dulu. Sekarang ni dekat bla bla bla... Amek bla bla bla..."

"Ooo. Dah jadi orang KL lah ni."

Dan lepas tu lamalah pula boraknya. Tapi borak pun bukan berdua. Kami borak sebab orang-orang tua sibuk dok meratah ayam, sate, mee kari sama daging kat atas. Takkan aku nak join sebab aku tukang bakar malam tu. Dia pulak cakap bosan dengar orang tua bersembang. Jadi masing-masing ada sebab nak bercerita. Seronok juga bila dah dekat 13 tahun tak jumpa rupanya ada peluang lagi nak bersembang. Aku memang lost contact langsung, maklumlah sebab masing-masing masih kecik masa tu. Nampak dia pun dah cukup matured sekarang ni. Lainlah dari dulu sebab masa tu baru umur 6 tahun. Sekarang dah 21. Gaya cakap pun dah nak jadi orang-orang town sikit. Haih, terfikir cepat betul masa berlalu.

Tapi malam tu setakat tu sajalah. Kawan, nak expect apa kan?

Yang peliknya semalam masa aku tengah basuh motor, tiba-tiba saja mak aku cakap sesuatu yang buat termenung sekejap. Mak budak perempuan tu tanya aku ni dah terfikir ke nak berumah tangga! Aku nak gelak awalnya sebab aku ingat mak aku main-main, tapi bila melihat keseriusan air muka mak aku, aku tak jadi. Aku tanya balik, ini soalan maut siapa ni?

Tahu apa jawapan dia?

Betul dan memang sah. Mak budak perempuan tu tanya dalam nada serius. Rupanya malam tu masa aku dok sembang-sembang tu, ada mata yang tengah perhati. Aku seriau semacam. Rasa bersalah pulak dok sembang-sembang dengan anak dara orang, mak dia pulak usha je dari jauh. Tapi bila memikirkan soalan itu aku jadi tak tentu arah sekejap. Mak dia tanya pun bukan tanya aku, tanya direct dengan mak aku. Macam betul-betul tengah plan something. Aish, aku baru 22 kot, takkanlah sampai kesitu otak aku nak menerawang. Bukan apa, diorang ni kesnya orang berada. Aku ni orang biasa-biasa. Tapi pertalian tu dekat sebab mak budak perempuan tu adalah mak saudara kakak ipar aku. Dan kalau datang ke kampung, memang dia selalu mintak tolong dengan ayah aku kalau nak jaga kebun ke apa ke.

Hmm, bila fikir-fikir balik rasa bodoh juga fikir benda tak tentu ni. Tapi kerisauan aku ni ada juga asasnya. Dulu pun masa abang dengan kakak ipar aku nak kahwin, mak saudara dia ni kira orang tengahlah juga. Dia jenis yang suka jodohkan kaum kerabat dia dengan sanak saudara. Itulah halnya.

Aku?

Bila bab hal-hal keluarga yang aku jenis tak reti nak menolak. Harap-harap sampai sini sajalah. Jangan ada panjang-panjang lagi. Tak sanggup aku nak bebankan kepala dengan hal-hal macam ni sedangkan hal kerjaya, hal-hal lain banyak lagi aku nak letak atas batu jemala ni. Dan satu hal lagi yang buat aku tak sedap badan ialah bila mak dia tengok aku malam, pandang aku lepas tu senyum-senyum. Mintak ambilkan dia cocktail lah apa semua, aku layan sajalah takkan aku nak tolak kot! Orang tua, kang terasa hati.

Hmm, biarlah. Tengoklah. Sekarang ni nak tulis apa pun aku dah tak tahu. Makin banyak aku tulis risau takut makin banyak pula yang salah.




Pada satu hal, sudah pasti mahu. Tapi mahu pun 70-30.


Pada satu hal yang lain, pun sudah pasti mahu. Tapi banyak main tarik tali lah pula.

Apa nak jadi?

Tapi bersungguh juga dia cari aku kan? 3 kali call aku, aku buat tak layan. Call kali keempat baru aku sambut. Tak sampai 5 minit, "Hah payah sangat, dapat pun!" Tapi tak tahu harus gembira atau tidak.

Mujurlah pengubat duka dah hampir sampai. Paling lama, 3 minggu lagi. 3 minggu saja lagi. Belajarlah bersabar wahai manusia!

Aku banyak snap gambar bila sekarang ini di kampung. Tapi terlupa di mana aku campak usb utk phone ini. Jadinya terperuk saja dalam perut memory card. Biarlah.

3 MMS indah dalam koleksi. Paling indah. Harap bukan akhirnya kerana kilometer yang jauh.



Bila terjadi pergolakan keluarga yang melibatkan sanak saudara yang dekat, nescaya kalau tidak banyak, sikit mesti akan bias pada ahli kelurga kita. Cuba menutup mata pada yang salah, dan cuba pula menegakkan benda yang tidak betul.


Kemarahan seorang wanita itu bersebab. BIla sudah terang-terangan curang di depan mata, hai tak akan lah nak tengok saja?

Aku cuba melihat dari sudut keadilan yang tidak seberapa, sebab sebenarnya aku pun tidak faham perangai orang tua-tua yang dikatakan lebih dulu makan garam dari kita. Benarlah ahli keluarga harus dipertahankan, tetapi benda yang salah harus disebut sesuatu yang salah. Selesaikah masalah andai satu mata menutup kebatilan sedang sebelah lagi jelas-jelas sedang melihat sesuatu di luar batasan?

Usia perkahwinan di 3 tahun pertama itu paling sukar. 1 peratus kebaikan dan keindahan sewaktu bercinta belum tentu mampu menutup 1001 kelemahan dan kekurangan selepas mengucapkan "Aku terima nikahnya dengan mas kahwinnya yang tersebut...." Tapi itulah hakikat kehidupan. Yang baik itu siapa? Isteri kita. Yang kurang baik itu pun siapa? Isteri kita.

Jadi terimalah kekurangan serta kebaikannya. Pahit, manis, masam, masin itu senantiasa menjadi rencah dalam melayar dunia secara berdua. Sebuah kapal tidak boleh ada 2 nakhoda, tapi nakhoda pun tidak mampu melabuh sauh secara berseorangan. Perlu juga pada anak kapal yang setia dan menurut kata. Bukan begitu?

Makan luar memang sedap. Tapi sedapnya itu sampai ke lubuk hati kah? Kita belum pasti. Sesiapa pun tak pasti, kerana hanya Tuhan mampu bisa baca hati manusia. Lebih-lebih manusia bergelar perempuan.

Tapi aku ini belum 3 tahun, macam-macam sudah jadi. Haih, mengeluh juga kadang-kadang untuk menunjukkan aku cuma manusia yang lemah. Tak bisa 'dibelasah' bertalu-talu dengan cubaan, cabaran dan godaan. Mujur juga aku tahu dia jua begitu, sama. Serupa? Tidak, sebab dia perempuan.

Merinduimu. Menyayangimu. Ingin Memilikimu.




Kampung. Hari ke-5.


Perasaan mandom makin sukar dielakkan. Hidup pagi yang selalu ditemani facebook dan berita harian online kini tiada lagi. Bangun pagi saja, hanya lembu dan kambing yang menjengah muka pintu menyambut hari baru. Maklumlah di kampung. Dan perasaan ini membuat aku terasa mahu mencari broadband sepantas yang mungkin. Biarlah berkelajuan EDGE atau GPRS sekalipun, aku perlu segera keluar dari kepompong kebosanan ini.

Minggu ini aku terasa begitu 'slow'. Tapi kata rakan-rakan yang masih sudi berSMS, "Tak apa. Lepas SPM dulu pun kau tak sempat rehat lama kan? Sekarang rehat puas-puas. Kau tak tau lagi apa jadi minggu depan, minggu depan-depan..."

Hmm, dan aku terpaksa setuju. Tak apalah, azam aku mulai minggu depan segalanya harus berubah. Seminggu cukuplah sel-sel otak diberikan rehat. Lepas ni kena refresh balik dengan benda-benda mencabar. Tak mahu sebu sangat dengan fikirkan bola dan motor. Perlu ada adventure dan excitement baru. Baru lively dan terasa sikit urat-urat badan nak reactivate. Heh!

Makan? Jangan ceritalah. Tom Yam, Sate, Kerabu Betik Kaw-kaw, Gulai Kampung, Ikan Keli Pat Pik semua aku dah qadha balik sejak dari Perak dulu. Memanglah orang Perak punya citarasa sendiri dalam masakan, tapi tekak aku memang tekak orang pantai timur. Jadinya nafsu itu hanya dipenuhi dengan masakan-masakan cara orang pantai timur. Selepas ini bila ada peluang, "Kawe nok gi Ganu pulokkkk...."

Orang di Melaka? Dia sihat. Alhamdulillah. Itu sudah jadi doa setiap hari. Smile! Untuk kamu dan aku juga. InsyaAllah, aku akan sampai ke sana.

Cukuplah dulu untuk melepaskan gatal tangan nak menulis. Rasa bersalah pula kalau terus senyap macam dulu. Tak ada update yang super-manarik untuk seminggu ini. Akan cuba lagi di keluaran akan datang.

Chow!





Sedikit terasa membaca post seseorang di blognya. Tapi tak apalah, andai dia bahagia berkata begitu, "Selamat berbahagia...." :)

Hari ini hari terakhir aku di UTP. Aku mahu penyudah yang baik. Tidak mahu lagi kesukaran. Tidak mahu ada kekusutan. Biarlah.

Hari ini mari bercakap tentang perubahan. Ya, aku harus akui aku bukan jenis yang senang berubah. Tapi jangka masa 4 tahun 6 bulan di kampus secara hakikatnya sudah tentu mengubah diri aku. Dari 14 Januari 2006 hingga 7 Jun 2010, takkanlah tak ada satu apa pun yang berubah bukan?

Kalau dahulu sewaktu baru-baru akil baligh dan mungkin kerana aku berasal dari Kelantan, sebuah negeri yang tidak ada panggung wayang, menonton wayang adalah sesuatu yang sangat exciting bagi aku. Rasa keterujaan yang melampau-lampau bila tengok wayang. Tapi kini, pantang asal ada movie baru di panggung, aku akan cari masa untuk pergi menonton. Biarlah bunyi atau effect macam loser, tapi feeling itu still rasa berbeza.

Study? Harus diakui juga kalau waktu foundation first semester, aku tidak ada komputer riba seperti sekarang. Waktu itu aku hanya belajar sahaja setiap malam. Penuh dinding-dinding dengan nota. Wajib rajin sebab menghargai peluang ke universiti. Walaupun hanya di Malaysia. Mungkin sebab itu aku rasa study itu benda yang seronok. Dan berhasil. Sekarang? Study bila ada masa, atau jadual final exam sudah dikeluarkan di UTP.edu. Masa dipenuhi dengan development projek, kawan-kawan, lepak-lepak dan mungkin 30% sahaja yang benar-benar untuk study. Nampak aku sudah berubah?

Kalau dahulu, aku rasa couple itu benda yang pelik. Walaupun waktu itu aku ada teman, tapi kami jarang dating. Sangat jarang. Bila sampai di sini, couple maksudnya dating. Owh, aku belajar benda baru! :) Tidak kiralah di mana-mana. Cafetaria, tasik UTP, hostel, IRC (library) dan di mana-mana, couple itu dating. Tapi sekarang? Couple untuk mencari teman hidup. Teman yang boleh dibawa berjumpa orang tua. Dan punya prospek untuk sehidup semati. Bukan sekadar teman mengisi masa lapang. Yakni, perspektif aku tentang isu ini pun sudah berubah.

Akhirnya, apa yang berubah? Cara aku memandang dunia. Kalau dahulu aku boleh menganggap, "Saya seorang pelajar, maka kalau salah tolong tunjukkan." Kerana itu, aku rasa aku punya hak dan imuniti untuk lepas dari kesalahan. Tapi sekarang? Tidak lagi. Aku harus segera keluar dari kepompong pemikiran sebegitu. Dalam dunia kerjaya, tidak ada ruang untuk kesalahan. Manusia-manusia lain tidak semua murah hati, dan tidak semua pula yang senang hati apa yang bakal kita dapat. Begitulah, semuanya harus sempurna. Semua.

Hmm, menulis macamlah ini post terakhir. InsyaAllah, tidak. Aku ingin menarik perhatian kamu pada ini.

"Kepercayaan itu ibarat tunjang yang tidak pernah kamu nampak. Umpama batu-batu yang ditanam di dalam tanah yang digunakan untuk mendirikan bangunan. Kamu tidak nampak batu-batu itu. Tapi kamu tahu kerana batu-batu itulah, bangunan itu mampu menyergam indah...."

p/s: sedang sedikit blues walaupun melayan lagu Bonamana yang rancak.



Ini video Tae Yeon bercuti dengan keluarga di Singapura 1 Jun lepas. Kepada yang belum maklum, Kim Tae Yeon atau Tae Yeon adalah leader grup So Nyeo Shi Dae atau selalunya Sone lebih senang memanggil mereka sebagai SNSD. Kamu boleh kenal dia dengan melihat imej-imej Gif disebelah kanan blog aku.

Aku harap peminat-peminat SNSD di Malaysia janganlah layan Tae Yeon begini kalaulah dia atau SNSD datang ke Malaysia.




Kamu boleh lihat pada 0.17 Tae Yeon meminta pada perakam video waktu itu untuk tidak merakam dia dan keluarganya. Siap cakap "Please....." kot! Bukan sombong atau berlagak, Tae Yeon secara rasmi di laman sesawangnya mengatakan dia tidak kisah dirakam dan gembira menghabiskan masa di Singapura. Cuma, dia kurang selesa apabila peminat-peminat SNSD turut merakam ahli keluarganya yang lain. Katanya, mereka adalah orang biasa dan tidak suka diberikan publisiti yang berlebihan.

Jauh sekali pemikiran Tae Yeon dengan artis Malaysia yang kalau boleh semua ahli keluarga mahu dijaja publisiti murahan. Setakat yang aku tahu di Malaysia, hanya Rosyam Nor yang berterus-terang tidak mahu keluarganya diseret sama dalam dunia popular. Two thumbs up untuk hero tua kita!

Aku makin kagum dengan Tae Yeon. Harap peminat-peminat Malaysia hormatilah dia dan lebih bertamadun dari peminat-peminat di Singapura. Itupun kalau Tae Yeon dan SNSD sudi datang ke sini.

p/s: ada yang kata Wonder Girls dan SNSD ini bermusuhan. hakikatnya, TaeYeon dan Sun Ye adalah rakan baik. dan mereka pun pernah bersekolah di sekolah yang sama. jangan tanya mana aku tahu.




Seharusnya, post ini aku dahulukan dari post 'Antara Siput Babi & Ikan Kelisa', tapi disebabkan aku ini seorang yang jenis mengikut urutan, dan dalam senarai post aku, title itu akan keluar dahulu maka itulah yang terjadi. Aku bukan jenis yang senang berubah dan jarang suka pada perubahan. Melainkan aku pasti perubahan itu adalah yang terbaik.

3 Jun 2010.

Tarikh keramat yang membawa makna yang cukup besar pada aku. Hari itu merupakan hari terakhir peperiksaan. Bukan saja untuk semester akhir, tapi juga untuk seluruh perjuangan aku di Universiti Teknologi PETRONAS. Selepas ini tidak akan ada lagi kekalutan untuk register courses, tak ada lagi kekalutan pergi ke kelas lambat 5-minit, kekalutan untuk menyudahkan FYP development, kekalutan untuk membuat resume, kekalutan untuk pindah barang-barang, semuanya tidak akan ada lagi. Aku akan berpindah juga, pindah ke kampung halaman, for good. Tidak lagi akan kembali ke UTP sebagai pelajar, insyaAllah. Kalau pulang pun, mungkin sebagai seorang yang lain, bukan pelajar.

Kertas terakhir hari itu 'Strategic Management'. 2.30 hingga 5.30 petang. Pukul 12 tengahari aku menikmati makan tengahari. Dalam fikiran waktu itu masih fikirkan ingin buat yang terbaik untuk kertas terakhir. Dan selalunya bila fikiran aku sudah fokus begitu, aku akan jadi sedikit tidak tenteram, jadi gelabah. Itu yang selalu berlaku. Tapi entah kenapa untuk kertas terakhir ini aku jadi sangat... tenang. Langsung tiada kerisauan. Bukanlah over confident, tapi semacam satu perasaan menulis, "Ini adalah yang terakhir untuk kamu. Nikmatinya...."

2.20 petang. Tangan aku sedikit sejuk memikirkan bentuk soalan di hadapan Multi Purpose Hall. Sedang aku berdiri memeriksa kedudukan dalam dewan, seorang Pak Guard penjaga peperiksaan menegur aku.

Pak Guard - PG
Aku - A

PG : Dah sedia dah?

A : InsyaAllah, dah ready pak cik.

PG : Ini paper last kan? 3 Jun? (sambil pandang jam tangan dia)

A : Aah. Untuk saya, paper last di UTP. Ini semester terakhir kat sini. (senyum)

PG : Owh, ya ke? Baguslah. Patutlah nampak macam dah tua. Dah nak kerja.

A : Haha! Ya ke pak cik? Harap-haraplah cepat dapat kerja. Hmm, rasa sedih pulak dah dekat 5 tahun kat sini.

PG : Biasalah. Tak apa, belajar memang macam tu. Takkan selamanya nak duduk satu tempat. Lepas ni kamu dah kerja, datang balik. Tengok-tengok adik kamu. Ramai student yang datang balik, masih kenal dengan kami. Salam apa semua. Pak cik suka pelajar macam tu, hormat orang tua. Tengok-tengok datang bawa BMW, bawa Mercedes, tapi masih hormat pada kami.

A : Itulah, saya pun fikir macam tu. Lepas ni kalau ada masa, mesti saya datang balik UTP. Jumpa kawan-kawan lain. Sayang lagi tempat ni. Datang dulu apa pun tak tahu. Sekarang dah kena ready nak masuk dunia betul. (pak guard tu angguk-angguk)

PG : Baguslah. Kamu sedar tanggungjawab kamu. Dah, ready ready. Dewan nak buka dah. Buat yang terbaik untuk yang terakhir. Pak cik doa kamu berjaya.

A : Ah ya, terima kasih pak cik. (salam)

Lalu aku melangkah bersama Viknesh, Hakim dengan Wei Xuan ke dalam dewan. Sebelum kaki aku benar-benar melangkah menjejak pintu dewan, aku sematkan dalam hati,"Ini adalah yang terakhir." Senyum. "Aku ingin menikmatinya...."

Dan alhamdulillah 3 jam berikutnya berakhir dengan lancar. Semua soalan aku jawab sepenuh hati. Bahkan aku terasa seperti 3 jam itu adalah antara saat-saat termanis di kampus ini. Aku menulis dengan kefahaman, dengan keyakinan. Bukan semata-mata hafalan dari nota-nota seperti yang pernah aku buat dahulu. Alhamdulillah, Tuhan memberi ruang aku menikmati semuanya hingga ke kertas peperiksaan terakhir.

5.10 petang. Aku selesai menjawab. Aku pandang sekeliling, melihat kawan-kawan dan junior-junior masih fokus di meja masing-masing. Senyum lagi.

"Aku takkan merasai semua ini lagi......."

5.40 petang. "All candidates may leave the hall. Thank you for your cooperation." Dengan itu berakhirlah segala. Sebaik melangkah keluar dari dewan ini, aku akan menempuh fasa baru dalam hidup aku. Dunia persaingan. Dunia kerjaya. Sesuatu yang pastinya lebih besar dan lebih sukar menanti di hadapan.

Selamat tinggal UTP. Selamat tinggal semua. Selamat tinggal kenangan.

Ada umur kita berjumpa lagi.





Petang ini, tamatlah perjuangan aku di UTP. 4 tahun berlalu yang penuh susah payah akhirnya berakhir dengan penyudahan yang riang. Aku puas hati menjawab semua 6 soalan itu tadi. Mungkin itu 6 terakhir yang aku jawab berdasarkan nota-nota dari buku, kerana selepas ini aku harus jawab dari pengalaman dan apa yang berlaku di sekeliling aku. Bukan lagi berdasarkan sebutir-sebutir seperti tertulis di nota dan buku-buku.

Kekejaman Israel di Palestin masih berterusan, aku doakan mereka selamat. Dalam apa jua erti kata selamat.

Hmm, kamu pernah berdepan dengan siput babi?



Aku sesungguhnya sangat membenci binatang/haiwan bernama siput babi ini. Bukanlah kerana namanya yang mengandungi perkataan 'babi' tapi kerana sifatnya yang begitu menjijikkan. Melekit-lekit, berjalan menggunakan perut, tidak berleher, hidup melekat di dinding-dinding, makan benda-benda kotor, eeeeewwwwww memang aku lemah betul dengan 'babi' yang satu ini!

Kadang-kadang bila aku berjalan seorang diri di malam hari di kawasan yang penuh dengan pokok-pokok berdaun seperti daun pandan, aku dapat melihat siput babi yang begitu banyak sekali. Banyak maksudnya sangat banyak! Melekit-lekit di lantai dan daun-daun. Tidak bergerak-gerak, pemalas macam babi juga. Aku akan cepat jalan laju-laju bila berdepan dengan binatang ini. Aku tidak tahulah kenapa. Tapi jijiknya binatang siput babi ini hinggakan bila aku terpijak pun, aku masih terasa jijik.

Selalunya kalau benda yang kita benci, kita pijak untuk menghancurkannya bukan?

Tapi siput babi, aku terasa kasihan dengan tapak selipar aku untuk memijak siput babi. Rasa macam haiwan ini sangat hina. Pengotor! Melekit! Ahhhhh, semua sifat yang boleh dibayangkan semua ada pada siput babi. Orang zaman dulu kalau lelaki atau perempuan ditangkap berzina, diorang akan kata.....

"Kena tangkap masa tengah bersiput babi!"

Begitulah bencinya aku pada siput babi. Kadang-kadang ilmu yang pada aku tidak sampai untuk memikirkan nikmat apakah yang ada pada siput babi. Sungguh besar kuasa Allah menjadikan suatu haiwan itu begitu jijik, mampu pula memberi perasaan jijik yang sebegitu rupa dalam hati aku. Tidak terbayang di akal fikiran aku.

Ikan kelisa?



Berbeza dengan ikan kelisa. Aku mampu menatap ikan kelisa selama sejam, dua jam tanpa bergerak-gerak. Kerana bagi aku ikan kelisa ini haiwan air yang paling cantik selain ikan paus pembunuh. Ikan kelisa ini renangnya perlahan-lahan saja, macam anak gadis yang baru pulang mengaji. Lenggok-lenggok, bisa memikat sesiapa jua yang memandang. Cantik, lembut, bersinar-sinar. Menggoncang iman para taukeh-taukeh kedai emas, di mana-mana sahaja.

Sudahlah cantik, ada orang kata membela ikan kelisa ini membawa tuah pula. Menjadi lambang kemewahan pun ya juga. Memang serba-serbi tentang ikan kelisa ini yang baik-baik sahaja. Kalau dapat yang kelisa emas merah itu, bukan calang-calang orang. Kalau ada duit pun belum tentu boleh memiliki ikan kelisa jenis ini. Hidupnya liar dan makan pula makanan-makanan yang terpilih. Lipan, cengkerik dan lipas jadi habuan biasa.

Apa kamu ingat ikan kelisa makan roti? Atau makanan tiruan macam ikan emas?

Hmm, sekali lagi besar kuasa Allah menjadikan sejenis haiwan begitu indah dan cantik. Hinggakan tak lari mata yang memandang. Jujur, kalaulah aku dapat memilih antara jenis-jenis haiwan untuk dijadikan belaan, ikan kelisa sudah tentu tentu nombor satu menjadi pilihan!

Tapi sebaliknya...

Siput babi tak memerlukan beribu-ribu untuk membelanya. Dan ia tak minta dibela pun. Makan pun tak perlu susah-susah. Makanannya sampah-sampah.

Sampah-sampah itu siapa punya?

Manusia. Hmm....

Ikan kelisa? Cantik? Memang cantik! Tapi menjadi lambang orang bermegah-megah. Berlagak-lagak. Angkuh bila memilikinya.

Siapa yang angkuh?

Manusia. Hmm....

Benarlah, kadang-kadang aku tidak mampu mengerti hukum alam. Penciptanya lebih mengerti. Apa yang putih aku lihat hitam. Apa yang hitam terkadang aku lihat putih. Aku lebih senang mengikut kata hati. Kerana cuba me'reason'kan setiap kejadian itu satu nikmat. Hidayah yang membuka pintu hati.

Dan hidayah bukan sesuatu yang senang untuk dijumpai. Apatah lagi dimiliki.

p/s: jangan terkejut ada mazhab yang berpendapat siput babi halal dimakan. klik sini.




Manusia-manusia di atas bukanlah manusia yang mempunyai hati, melainkan dalam hati mereka hanya memandang manusia lain umpama anjing dan babi. Bukankah mereka menganggap mereka adalah 'The Chosen One'?

Bagaimana akal yang waras membenarkan bayi belum pun berusia setahun diacukan senjata berlaser merah. Bantuan makanan dan ubatan dikatakan artillery?

Gilakah?

Aku tidak tahu seksaan apa yang paling berat di neraka Jahannam, tapi aku mendoakan biarlah manusia-manusia di atas yang menjadi kayu-kayu bakarnya yang pertama.

Benjamin Netanyahu, syaitan pun kagum dengan kau manusia laknat! Ayuh Najib dan kepala-kepala Parlimen, cukup-cukuplah berdiam diri. Aku di belakang kau kali ini!


daun hijau

daun hijau

ilustrasi pensil & cinta

Projek ini sudah lama aku rancang, tapi hingga saat ini baru diberikan sedikit kekuatan, ruang dan masa untuk benar-benar merealisasikannya.

Baru saja bermula, InsyaAllah sedikit demi sedikit projek ini akan aku usahakan dan sampai waktunya nanti, akan aku dedahkan secara umum matlamat dan hasil sebenar projek ini pada sahabat, kawan dan rakan-rakan bloggers.

Ianya projek yang ringkas, tapi amat sangat bermakna untuk kersani. Harap kalian sabar menunggu.

kira ulat

kroni ulat hijau

ulat hijau

tiga

tiga

rendam

rendam

sembang ulat


ShoutMix chat widget

pustaka ulat

FEEDJIT Live Traffic Feed