(BBQ kecil-kecilan... yang makan, besar-besaran!)


Setiap kali ingin menulis post sebegini, mesti aku akan terfikir 2 3 kali akan baik buruknya. Bimbang kalau-kalau memberi persepri negatif pada orang lain tentang diri sendiri. Memanglah kadang-kadang mengelak macam mana pun kalau benda sudah hendak jadi, jadi juga. Tapi tak apalah, baca dan lupa. Tulis dan lupa. Prinsip mudah untuk apa jua penyelesaian walaupun bukan yang mutakhir.

Nak dijadikan cerita, satu hari itu abang aku terasa hendak buat BBQ di rumah. Tak adalah ramai yang datang melainkan kaum keluarga dan sahabat handailah juga adanya. Jadinya disebabkan aku ni bukanlah banyak kerja sangat pun cuti-cuti begini, maka aku pun sampailah awal sedikit dari biasa. Tolong-tolong pasangkan griller, cucuk sate dengan bahan-bahan bbq dan hidupkan api. Tak adalah susah maca sebab anak-anak saudara pun ada orang yang ringan tulang. Jadi lagi 20-30 minit nak maghrib, semua dah settle. Tinggal nak bakar sate dan letak ayam sama daging sama sosej atas api yang membara. Buat BBQ pulak dekat luar rumah yang lapang, cukup syok dengan angin sepoi-sepoi. Layan!

Dalam 30 minit lepas tu, tengah sedap-sedap dok bakar ayam tu tetiba sampailah sebuah Mercedes berplet ehem-ehem, tak payah ceritalah! Aku kaget sekejap sebab aku rasa macam kenal perempuan dalam kereta tu. Dalam dok sibuk-sibuk dengan asap tu, sempatlah jeling sekali dua sebab nak confirm kan betul ke tidak tekaan aku. Hmm, memang sah aku kenal dia. Lama sangat dah tak jumpa, patut aku dah lupa. Walhal, tak pernah terfikir pun akan jumpa dia balik. Jumpa dulu masa aku darjah 1 atau 2, dan dia setahun lebih muda dari aku. Jadinya, bila jumpa balik, lebih baiklah buat-buat senyum tanda kenal sebab rasanya dia pun dah lupa aku macam mana sekarang.

Tengah sedap-sedap layan bakar, tetiba...

"Eh awak, dah ada ayam yang siap masak?" Dia bongkokkan badan sambil pegang pinggan kertas.

"Err, kejap. Sikit lagi. Tadi dah bagi kan?

"Aah. Tapi dah habis. Ramai kat sana."

"Ooo. Tungguhlah kejap. Dah nak masak dah ni." Gugup. Aish!

"Awak ni Pie kan? Ke salah orang?"

"Haha. Aah, betullah tu. Lama gila tak jumpa. Study mana sekarang?"

"Aah la. Masa kecik dulu. Sekarang ni dekat bla bla bla... Amek bla bla bla..."

"Ooo. Dah jadi orang KL lah ni."

Dan lepas tu lamalah pula boraknya. Tapi borak pun bukan berdua. Kami borak sebab orang-orang tua sibuk dok meratah ayam, sate, mee kari sama daging kat atas. Takkan aku nak join sebab aku tukang bakar malam tu. Dia pulak cakap bosan dengar orang tua bersembang. Jadi masing-masing ada sebab nak bercerita. Seronok juga bila dah dekat 13 tahun tak jumpa rupanya ada peluang lagi nak bersembang. Aku memang lost contact langsung, maklumlah sebab masing-masing masih kecik masa tu. Nampak dia pun dah cukup matured sekarang ni. Lainlah dari dulu sebab masa tu baru umur 6 tahun. Sekarang dah 21. Gaya cakap pun dah nak jadi orang-orang town sikit. Haih, terfikir cepat betul masa berlalu.

Tapi malam tu setakat tu sajalah. Kawan, nak expect apa kan?

Yang peliknya semalam masa aku tengah basuh motor, tiba-tiba saja mak aku cakap sesuatu yang buat termenung sekejap. Mak budak perempuan tu tanya aku ni dah terfikir ke nak berumah tangga! Aku nak gelak awalnya sebab aku ingat mak aku main-main, tapi bila melihat keseriusan air muka mak aku, aku tak jadi. Aku tanya balik, ini soalan maut siapa ni?

Tahu apa jawapan dia?

Betul dan memang sah. Mak budak perempuan tu tanya dalam nada serius. Rupanya malam tu masa aku dok sembang-sembang tu, ada mata yang tengah perhati. Aku seriau semacam. Rasa bersalah pulak dok sembang-sembang dengan anak dara orang, mak dia pulak usha je dari jauh. Tapi bila memikirkan soalan itu aku jadi tak tentu arah sekejap. Mak dia tanya pun bukan tanya aku, tanya direct dengan mak aku. Macam betul-betul tengah plan something. Aish, aku baru 22 kot, takkanlah sampai kesitu otak aku nak menerawang. Bukan apa, diorang ni kesnya orang berada. Aku ni orang biasa-biasa. Tapi pertalian tu dekat sebab mak budak perempuan tu adalah mak saudara kakak ipar aku. Dan kalau datang ke kampung, memang dia selalu mintak tolong dengan ayah aku kalau nak jaga kebun ke apa ke.

Hmm, bila fikir-fikir balik rasa bodoh juga fikir benda tak tentu ni. Tapi kerisauan aku ni ada juga asasnya. Dulu pun masa abang dengan kakak ipar aku nak kahwin, mak saudara dia ni kira orang tengahlah juga. Dia jenis yang suka jodohkan kaum kerabat dia dengan sanak saudara. Itulah halnya.

Aku?

Bila bab hal-hal keluarga yang aku jenis tak reti nak menolak. Harap-harap sampai sini sajalah. Jangan ada panjang-panjang lagi. Tak sanggup aku nak bebankan kepala dengan hal-hal macam ni sedangkan hal kerjaya, hal-hal lain banyak lagi aku nak letak atas batu jemala ni. Dan satu hal lagi yang buat aku tak sedap badan ialah bila mak dia tengok aku malam, pandang aku lepas tu senyum-senyum. Mintak ambilkan dia cocktail lah apa semua, aku layan sajalah takkan aku nak tolak kot! Orang tua, kang terasa hati.

Hmm, biarlah. Tengoklah. Sekarang ni nak tulis apa pun aku dah tak tahu. Makin banyak aku tulis risau takut makin banyak pula yang salah.




Pada satu hal, sudah pasti mahu. Tapi mahu pun 70-30.


Pada satu hal yang lain, pun sudah pasti mahu. Tapi banyak main tarik tali lah pula.

Apa nak jadi?

Tapi bersungguh juga dia cari aku kan? 3 kali call aku, aku buat tak layan. Call kali keempat baru aku sambut. Tak sampai 5 minit, "Hah payah sangat, dapat pun!" Tapi tak tahu harus gembira atau tidak.

Mujurlah pengubat duka dah hampir sampai. Paling lama, 3 minggu lagi. 3 minggu saja lagi. Belajarlah bersabar wahai manusia!

Aku banyak snap gambar bila sekarang ini di kampung. Tapi terlupa di mana aku campak usb utk phone ini. Jadinya terperuk saja dalam perut memory card. Biarlah.

3 MMS indah dalam koleksi. Paling indah. Harap bukan akhirnya kerana kilometer yang jauh.



Bila terjadi pergolakan keluarga yang melibatkan sanak saudara yang dekat, nescaya kalau tidak banyak, sikit mesti akan bias pada ahli kelurga kita. Cuba menutup mata pada yang salah, dan cuba pula menegakkan benda yang tidak betul.


Kemarahan seorang wanita itu bersebab. BIla sudah terang-terangan curang di depan mata, hai tak akan lah nak tengok saja?

Aku cuba melihat dari sudut keadilan yang tidak seberapa, sebab sebenarnya aku pun tidak faham perangai orang tua-tua yang dikatakan lebih dulu makan garam dari kita. Benarlah ahli keluarga harus dipertahankan, tetapi benda yang salah harus disebut sesuatu yang salah. Selesaikah masalah andai satu mata menutup kebatilan sedang sebelah lagi jelas-jelas sedang melihat sesuatu di luar batasan?

Usia perkahwinan di 3 tahun pertama itu paling sukar. 1 peratus kebaikan dan keindahan sewaktu bercinta belum tentu mampu menutup 1001 kelemahan dan kekurangan selepas mengucapkan "Aku terima nikahnya dengan mas kahwinnya yang tersebut...." Tapi itulah hakikat kehidupan. Yang baik itu siapa? Isteri kita. Yang kurang baik itu pun siapa? Isteri kita.

Jadi terimalah kekurangan serta kebaikannya. Pahit, manis, masam, masin itu senantiasa menjadi rencah dalam melayar dunia secara berdua. Sebuah kapal tidak boleh ada 2 nakhoda, tapi nakhoda pun tidak mampu melabuh sauh secara berseorangan. Perlu juga pada anak kapal yang setia dan menurut kata. Bukan begitu?

Makan luar memang sedap. Tapi sedapnya itu sampai ke lubuk hati kah? Kita belum pasti. Sesiapa pun tak pasti, kerana hanya Tuhan mampu bisa baca hati manusia. Lebih-lebih manusia bergelar perempuan.

Tapi aku ini belum 3 tahun, macam-macam sudah jadi. Haih, mengeluh juga kadang-kadang untuk menunjukkan aku cuma manusia yang lemah. Tak bisa 'dibelasah' bertalu-talu dengan cubaan, cabaran dan godaan. Mujur juga aku tahu dia jua begitu, sama. Serupa? Tidak, sebab dia perempuan.

Merinduimu. Menyayangimu. Ingin Memilikimu.




Kampung. Hari ke-5.


Perasaan mandom makin sukar dielakkan. Hidup pagi yang selalu ditemani facebook dan berita harian online kini tiada lagi. Bangun pagi saja, hanya lembu dan kambing yang menjengah muka pintu menyambut hari baru. Maklumlah di kampung. Dan perasaan ini membuat aku terasa mahu mencari broadband sepantas yang mungkin. Biarlah berkelajuan EDGE atau GPRS sekalipun, aku perlu segera keluar dari kepompong kebosanan ini.

Minggu ini aku terasa begitu 'slow'. Tapi kata rakan-rakan yang masih sudi berSMS, "Tak apa. Lepas SPM dulu pun kau tak sempat rehat lama kan? Sekarang rehat puas-puas. Kau tak tau lagi apa jadi minggu depan, minggu depan-depan..."

Hmm, dan aku terpaksa setuju. Tak apalah, azam aku mulai minggu depan segalanya harus berubah. Seminggu cukuplah sel-sel otak diberikan rehat. Lepas ni kena refresh balik dengan benda-benda mencabar. Tak mahu sebu sangat dengan fikirkan bola dan motor. Perlu ada adventure dan excitement baru. Baru lively dan terasa sikit urat-urat badan nak reactivate. Heh!

Makan? Jangan ceritalah. Tom Yam, Sate, Kerabu Betik Kaw-kaw, Gulai Kampung, Ikan Keli Pat Pik semua aku dah qadha balik sejak dari Perak dulu. Memanglah orang Perak punya citarasa sendiri dalam masakan, tapi tekak aku memang tekak orang pantai timur. Jadinya nafsu itu hanya dipenuhi dengan masakan-masakan cara orang pantai timur. Selepas ini bila ada peluang, "Kawe nok gi Ganu pulokkkk...."

Orang di Melaka? Dia sihat. Alhamdulillah. Itu sudah jadi doa setiap hari. Smile! Untuk kamu dan aku juga. InsyaAllah, aku akan sampai ke sana.

Cukuplah dulu untuk melepaskan gatal tangan nak menulis. Rasa bersalah pula kalau terus senyap macam dulu. Tak ada update yang super-manarik untuk seminggu ini. Akan cuba lagi di keluaran akan datang.

Chow!





Sedikit terasa membaca post seseorang di blognya. Tapi tak apalah, andai dia bahagia berkata begitu, "Selamat berbahagia...." :)

Hari ini hari terakhir aku di UTP. Aku mahu penyudah yang baik. Tidak mahu lagi kesukaran. Tidak mahu ada kekusutan. Biarlah.

Hari ini mari bercakap tentang perubahan. Ya, aku harus akui aku bukan jenis yang senang berubah. Tapi jangka masa 4 tahun 6 bulan di kampus secara hakikatnya sudah tentu mengubah diri aku. Dari 14 Januari 2006 hingga 7 Jun 2010, takkanlah tak ada satu apa pun yang berubah bukan?

Kalau dahulu sewaktu baru-baru akil baligh dan mungkin kerana aku berasal dari Kelantan, sebuah negeri yang tidak ada panggung wayang, menonton wayang adalah sesuatu yang sangat exciting bagi aku. Rasa keterujaan yang melampau-lampau bila tengok wayang. Tapi kini, pantang asal ada movie baru di panggung, aku akan cari masa untuk pergi menonton. Biarlah bunyi atau effect macam loser, tapi feeling itu still rasa berbeza.

Study? Harus diakui juga kalau waktu foundation first semester, aku tidak ada komputer riba seperti sekarang. Waktu itu aku hanya belajar sahaja setiap malam. Penuh dinding-dinding dengan nota. Wajib rajin sebab menghargai peluang ke universiti. Walaupun hanya di Malaysia. Mungkin sebab itu aku rasa study itu benda yang seronok. Dan berhasil. Sekarang? Study bila ada masa, atau jadual final exam sudah dikeluarkan di UTP.edu. Masa dipenuhi dengan development projek, kawan-kawan, lepak-lepak dan mungkin 30% sahaja yang benar-benar untuk study. Nampak aku sudah berubah?

Kalau dahulu, aku rasa couple itu benda yang pelik. Walaupun waktu itu aku ada teman, tapi kami jarang dating. Sangat jarang. Bila sampai di sini, couple maksudnya dating. Owh, aku belajar benda baru! :) Tidak kiralah di mana-mana. Cafetaria, tasik UTP, hostel, IRC (library) dan di mana-mana, couple itu dating. Tapi sekarang? Couple untuk mencari teman hidup. Teman yang boleh dibawa berjumpa orang tua. Dan punya prospek untuk sehidup semati. Bukan sekadar teman mengisi masa lapang. Yakni, perspektif aku tentang isu ini pun sudah berubah.

Akhirnya, apa yang berubah? Cara aku memandang dunia. Kalau dahulu aku boleh menganggap, "Saya seorang pelajar, maka kalau salah tolong tunjukkan." Kerana itu, aku rasa aku punya hak dan imuniti untuk lepas dari kesalahan. Tapi sekarang? Tidak lagi. Aku harus segera keluar dari kepompong pemikiran sebegitu. Dalam dunia kerjaya, tidak ada ruang untuk kesalahan. Manusia-manusia lain tidak semua murah hati, dan tidak semua pula yang senang hati apa yang bakal kita dapat. Begitulah, semuanya harus sempurna. Semua.

Hmm, menulis macamlah ini post terakhir. InsyaAllah, tidak. Aku ingin menarik perhatian kamu pada ini.

"Kepercayaan itu ibarat tunjang yang tidak pernah kamu nampak. Umpama batu-batu yang ditanam di dalam tanah yang digunakan untuk mendirikan bangunan. Kamu tidak nampak batu-batu itu. Tapi kamu tahu kerana batu-batu itulah, bangunan itu mampu menyergam indah...."

p/s: sedang sedikit blues walaupun melayan lagu Bonamana yang rancak.



Ini video Tae Yeon bercuti dengan keluarga di Singapura 1 Jun lepas. Kepada yang belum maklum, Kim Tae Yeon atau Tae Yeon adalah leader grup So Nyeo Shi Dae atau selalunya Sone lebih senang memanggil mereka sebagai SNSD. Kamu boleh kenal dia dengan melihat imej-imej Gif disebelah kanan blog aku.

Aku harap peminat-peminat SNSD di Malaysia janganlah layan Tae Yeon begini kalaulah dia atau SNSD datang ke Malaysia.




Kamu boleh lihat pada 0.17 Tae Yeon meminta pada perakam video waktu itu untuk tidak merakam dia dan keluarganya. Siap cakap "Please....." kot! Bukan sombong atau berlagak, Tae Yeon secara rasmi di laman sesawangnya mengatakan dia tidak kisah dirakam dan gembira menghabiskan masa di Singapura. Cuma, dia kurang selesa apabila peminat-peminat SNSD turut merakam ahli keluarganya yang lain. Katanya, mereka adalah orang biasa dan tidak suka diberikan publisiti yang berlebihan.

Jauh sekali pemikiran Tae Yeon dengan artis Malaysia yang kalau boleh semua ahli keluarga mahu dijaja publisiti murahan. Setakat yang aku tahu di Malaysia, hanya Rosyam Nor yang berterus-terang tidak mahu keluarganya diseret sama dalam dunia popular. Two thumbs up untuk hero tua kita!

Aku makin kagum dengan Tae Yeon. Harap peminat-peminat Malaysia hormatilah dia dan lebih bertamadun dari peminat-peminat di Singapura. Itupun kalau Tae Yeon dan SNSD sudi datang ke sini.

p/s: ada yang kata Wonder Girls dan SNSD ini bermusuhan. hakikatnya, TaeYeon dan Sun Ye adalah rakan baik. dan mereka pun pernah bersekolah di sekolah yang sama. jangan tanya mana aku tahu.




Seharusnya, post ini aku dahulukan dari post 'Antara Siput Babi & Ikan Kelisa', tapi disebabkan aku ini seorang yang jenis mengikut urutan, dan dalam senarai post aku, title itu akan keluar dahulu maka itulah yang terjadi. Aku bukan jenis yang senang berubah dan jarang suka pada perubahan. Melainkan aku pasti perubahan itu adalah yang terbaik.

3 Jun 2010.

Tarikh keramat yang membawa makna yang cukup besar pada aku. Hari itu merupakan hari terakhir peperiksaan. Bukan saja untuk semester akhir, tapi juga untuk seluruh perjuangan aku di Universiti Teknologi PETRONAS. Selepas ini tidak akan ada lagi kekalutan untuk register courses, tak ada lagi kekalutan pergi ke kelas lambat 5-minit, kekalutan untuk menyudahkan FYP development, kekalutan untuk membuat resume, kekalutan untuk pindah barang-barang, semuanya tidak akan ada lagi. Aku akan berpindah juga, pindah ke kampung halaman, for good. Tidak lagi akan kembali ke UTP sebagai pelajar, insyaAllah. Kalau pulang pun, mungkin sebagai seorang yang lain, bukan pelajar.

Kertas terakhir hari itu 'Strategic Management'. 2.30 hingga 5.30 petang. Pukul 12 tengahari aku menikmati makan tengahari. Dalam fikiran waktu itu masih fikirkan ingin buat yang terbaik untuk kertas terakhir. Dan selalunya bila fikiran aku sudah fokus begitu, aku akan jadi sedikit tidak tenteram, jadi gelabah. Itu yang selalu berlaku. Tapi entah kenapa untuk kertas terakhir ini aku jadi sangat... tenang. Langsung tiada kerisauan. Bukanlah over confident, tapi semacam satu perasaan menulis, "Ini adalah yang terakhir untuk kamu. Nikmatinya...."

2.20 petang. Tangan aku sedikit sejuk memikirkan bentuk soalan di hadapan Multi Purpose Hall. Sedang aku berdiri memeriksa kedudukan dalam dewan, seorang Pak Guard penjaga peperiksaan menegur aku.

Pak Guard - PG
Aku - A

PG : Dah sedia dah?

A : InsyaAllah, dah ready pak cik.

PG : Ini paper last kan? 3 Jun? (sambil pandang jam tangan dia)

A : Aah. Untuk saya, paper last di UTP. Ini semester terakhir kat sini. (senyum)

PG : Owh, ya ke? Baguslah. Patutlah nampak macam dah tua. Dah nak kerja.

A : Haha! Ya ke pak cik? Harap-haraplah cepat dapat kerja. Hmm, rasa sedih pulak dah dekat 5 tahun kat sini.

PG : Biasalah. Tak apa, belajar memang macam tu. Takkan selamanya nak duduk satu tempat. Lepas ni kamu dah kerja, datang balik. Tengok-tengok adik kamu. Ramai student yang datang balik, masih kenal dengan kami. Salam apa semua. Pak cik suka pelajar macam tu, hormat orang tua. Tengok-tengok datang bawa BMW, bawa Mercedes, tapi masih hormat pada kami.

A : Itulah, saya pun fikir macam tu. Lepas ni kalau ada masa, mesti saya datang balik UTP. Jumpa kawan-kawan lain. Sayang lagi tempat ni. Datang dulu apa pun tak tahu. Sekarang dah kena ready nak masuk dunia betul. (pak guard tu angguk-angguk)

PG : Baguslah. Kamu sedar tanggungjawab kamu. Dah, ready ready. Dewan nak buka dah. Buat yang terbaik untuk yang terakhir. Pak cik doa kamu berjaya.

A : Ah ya, terima kasih pak cik. (salam)

Lalu aku melangkah bersama Viknesh, Hakim dengan Wei Xuan ke dalam dewan. Sebelum kaki aku benar-benar melangkah menjejak pintu dewan, aku sematkan dalam hati,"Ini adalah yang terakhir." Senyum. "Aku ingin menikmatinya...."

Dan alhamdulillah 3 jam berikutnya berakhir dengan lancar. Semua soalan aku jawab sepenuh hati. Bahkan aku terasa seperti 3 jam itu adalah antara saat-saat termanis di kampus ini. Aku menulis dengan kefahaman, dengan keyakinan. Bukan semata-mata hafalan dari nota-nota seperti yang pernah aku buat dahulu. Alhamdulillah, Tuhan memberi ruang aku menikmati semuanya hingga ke kertas peperiksaan terakhir.

5.10 petang. Aku selesai menjawab. Aku pandang sekeliling, melihat kawan-kawan dan junior-junior masih fokus di meja masing-masing. Senyum lagi.

"Aku takkan merasai semua ini lagi......."

5.40 petang. "All candidates may leave the hall. Thank you for your cooperation." Dengan itu berakhirlah segala. Sebaik melangkah keluar dari dewan ini, aku akan menempuh fasa baru dalam hidup aku. Dunia persaingan. Dunia kerjaya. Sesuatu yang pastinya lebih besar dan lebih sukar menanti di hadapan.

Selamat tinggal UTP. Selamat tinggal semua. Selamat tinggal kenangan.

Ada umur kita berjumpa lagi.





Petang ini, tamatlah perjuangan aku di UTP. 4 tahun berlalu yang penuh susah payah akhirnya berakhir dengan penyudahan yang riang. Aku puas hati menjawab semua 6 soalan itu tadi. Mungkin itu 6 terakhir yang aku jawab berdasarkan nota-nota dari buku, kerana selepas ini aku harus jawab dari pengalaman dan apa yang berlaku di sekeliling aku. Bukan lagi berdasarkan sebutir-sebutir seperti tertulis di nota dan buku-buku.

Kekejaman Israel di Palestin masih berterusan, aku doakan mereka selamat. Dalam apa jua erti kata selamat.

Hmm, kamu pernah berdepan dengan siput babi?



Aku sesungguhnya sangat membenci binatang/haiwan bernama siput babi ini. Bukanlah kerana namanya yang mengandungi perkataan 'babi' tapi kerana sifatnya yang begitu menjijikkan. Melekit-lekit, berjalan menggunakan perut, tidak berleher, hidup melekat di dinding-dinding, makan benda-benda kotor, eeeeewwwwww memang aku lemah betul dengan 'babi' yang satu ini!

Kadang-kadang bila aku berjalan seorang diri di malam hari di kawasan yang penuh dengan pokok-pokok berdaun seperti daun pandan, aku dapat melihat siput babi yang begitu banyak sekali. Banyak maksudnya sangat banyak! Melekit-lekit di lantai dan daun-daun. Tidak bergerak-gerak, pemalas macam babi juga. Aku akan cepat jalan laju-laju bila berdepan dengan binatang ini. Aku tidak tahulah kenapa. Tapi jijiknya binatang siput babi ini hinggakan bila aku terpijak pun, aku masih terasa jijik.

Selalunya kalau benda yang kita benci, kita pijak untuk menghancurkannya bukan?

Tapi siput babi, aku terasa kasihan dengan tapak selipar aku untuk memijak siput babi. Rasa macam haiwan ini sangat hina. Pengotor! Melekit! Ahhhhh, semua sifat yang boleh dibayangkan semua ada pada siput babi. Orang zaman dulu kalau lelaki atau perempuan ditangkap berzina, diorang akan kata.....

"Kena tangkap masa tengah bersiput babi!"

Begitulah bencinya aku pada siput babi. Kadang-kadang ilmu yang pada aku tidak sampai untuk memikirkan nikmat apakah yang ada pada siput babi. Sungguh besar kuasa Allah menjadikan suatu haiwan itu begitu jijik, mampu pula memberi perasaan jijik yang sebegitu rupa dalam hati aku. Tidak terbayang di akal fikiran aku.

Ikan kelisa?



Berbeza dengan ikan kelisa. Aku mampu menatap ikan kelisa selama sejam, dua jam tanpa bergerak-gerak. Kerana bagi aku ikan kelisa ini haiwan air yang paling cantik selain ikan paus pembunuh. Ikan kelisa ini renangnya perlahan-lahan saja, macam anak gadis yang baru pulang mengaji. Lenggok-lenggok, bisa memikat sesiapa jua yang memandang. Cantik, lembut, bersinar-sinar. Menggoncang iman para taukeh-taukeh kedai emas, di mana-mana sahaja.

Sudahlah cantik, ada orang kata membela ikan kelisa ini membawa tuah pula. Menjadi lambang kemewahan pun ya juga. Memang serba-serbi tentang ikan kelisa ini yang baik-baik sahaja. Kalau dapat yang kelisa emas merah itu, bukan calang-calang orang. Kalau ada duit pun belum tentu boleh memiliki ikan kelisa jenis ini. Hidupnya liar dan makan pula makanan-makanan yang terpilih. Lipan, cengkerik dan lipas jadi habuan biasa.

Apa kamu ingat ikan kelisa makan roti? Atau makanan tiruan macam ikan emas?

Hmm, sekali lagi besar kuasa Allah menjadikan sejenis haiwan begitu indah dan cantik. Hinggakan tak lari mata yang memandang. Jujur, kalaulah aku dapat memilih antara jenis-jenis haiwan untuk dijadikan belaan, ikan kelisa sudah tentu tentu nombor satu menjadi pilihan!

Tapi sebaliknya...

Siput babi tak memerlukan beribu-ribu untuk membelanya. Dan ia tak minta dibela pun. Makan pun tak perlu susah-susah. Makanannya sampah-sampah.

Sampah-sampah itu siapa punya?

Manusia. Hmm....

Ikan kelisa? Cantik? Memang cantik! Tapi menjadi lambang orang bermegah-megah. Berlagak-lagak. Angkuh bila memilikinya.

Siapa yang angkuh?

Manusia. Hmm....

Benarlah, kadang-kadang aku tidak mampu mengerti hukum alam. Penciptanya lebih mengerti. Apa yang putih aku lihat hitam. Apa yang hitam terkadang aku lihat putih. Aku lebih senang mengikut kata hati. Kerana cuba me'reason'kan setiap kejadian itu satu nikmat. Hidayah yang membuka pintu hati.

Dan hidayah bukan sesuatu yang senang untuk dijumpai. Apatah lagi dimiliki.

p/s: jangan terkejut ada mazhab yang berpendapat siput babi halal dimakan. klik sini.




Manusia-manusia di atas bukanlah manusia yang mempunyai hati, melainkan dalam hati mereka hanya memandang manusia lain umpama anjing dan babi. Bukankah mereka menganggap mereka adalah 'The Chosen One'?

Bagaimana akal yang waras membenarkan bayi belum pun berusia setahun diacukan senjata berlaser merah. Bantuan makanan dan ubatan dikatakan artillery?

Gilakah?

Aku tidak tahu seksaan apa yang paling berat di neraka Jahannam, tapi aku mendoakan biarlah manusia-manusia di atas yang menjadi kayu-kayu bakarnya yang pertama.

Benjamin Netanyahu, syaitan pun kagum dengan kau manusia laknat! Ayuh Najib dan kepala-kepala Parlimen, cukup-cukuplah berdiam diri. Aku di belakang kau kali ini!





Ada siapa-siapa di sini yang biasa buat handstand? Ada? Bagus! Nampaknya kita punya minat yang sama. Semalam sedang aku kebosanan yang melampau-lampau, jadi aku rasa lebih baik aku gunakan masa yang ada untuk menajamkan skill handstand aku. Bukan apa, handstand bagus untuk melancarkan perjalanan darah kan?

Jadi, memikirkan agak leceh untuk mencari tilam yang lembut maka aku membuat keputusan yang sedikit drastik untuk cuba buat handstand di atas lantai simen di bilik sahaja. Selalunya, cubaan pertama memanglah penuh dugaan, tapi itu biasalah. Mana ada benda senang dalam dunia ini.

Cubaan pertama, gagal!

Cubaan kedua, yesssss, berjaya!!

Cubaan ketiga, yessssssss, dapat 'berdiri' terbalik dekat 30 saat!!

Cubaan keempat.... BEDEBUK!! BAMMM!!!


(dan, ini 'habuan'nya.... tahniah!!)

Memang lancar perjalanan darah aku lepas tu. Nasib baik tak berjahit. Tapi adik-adik, "Don't try this on the floor. Be wise, and not so much of a jackass."

Chow!

p/s: aku nak try buat 'flare' pula lepas ni!




Di Malaysia sekarang ini, kaki-kaki panggung wayang semuanya sedang panas punggung menunggu filem 'Lagenda Budak Setan'. Pada yang kurang tahu, filem ini diadaptasi dari novel Ahadiat Akashah, sekarang ni dia dah tak famous sangat. Aku rasa novel itu aku baca kalau tak salah sewaktu aku di tingkatan 1 atau 2, yakni tahun 2001 atau 2002. Maknanya kalau anak gadis sewaktu itu yang masih membaca novel-novel jiwang, mungkin sekarang sudah jadi emak-emak anak gadis pula. Entahlah aku pun tak pasti samada ia telah wujud lama sebelum itu.

Tapi yang pasti novelnya tidaklah semurni novel-novel Ramlee Awang Mursyid atau Fauziah Ashari. Betul aku akui Ahadiat Akashah penulis yang bagus, tapi dari segi mesej dan pengolahan cerita yang berbelit-belit tetapi tidak mencabar membuat aku sedikit yakin filemnya juga tidak akan dapat lari dari masalah yang sama. Maaflah pada peminat asli atau sejati Ahadiat Akashah sebab bagi aku sebuah novel yang bagus bukan hanya bergantung pada satu cerita semata-mata. Ya, mungkin Ahadiat Akashah adalah penulis di zamannya, jadi tidak adil untuk membandingkan jalan ceritanya dengan novel sekarang. Aku jawab satu saja, "Aku peduli apa?!"

Sebagai pembaca, aku membesar dengan masa dan aku expect penulis itu juga cukup matang untuk sentiasa mencabar minda aku dengan penulisan-penulisan yang bermutu dan di luar apa yang dapat aku saksikan dalam filem atau imaginasi. Kiranya aku mahukan imaginasi novelis itu biar 200% melampaui apa yang dapat aku bayangkan, barulah aku dengan bangganya akan berkata novel itu bagus. Lagenda Budak Setan? Asalnya nama novelnya hanyalah Budak Setan, tetapi mungkin (ini aku ingat-ingat lupa) kerana dia ada triloginya yang tersendiri, jadi nama novel ini berubah kepada Lagenda Budak Setan. Apa yang lagenda aku tidak tahu sebab novel ini hanya bagus pada novel pertama sahaja!

Malas untuk membanding dengan novelis-novelis seperti Dan Brown atau J.R.R Tolkien, aku bandingkan sahaja dengan Ramlee Awang Mursyid. Seorang penulis tempatan. Kamu sudah baca trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencipta dan terbaru Cinta Sufi? Ini baru aku panggil novel lagenda! Triloginya bukan mainan, malah cerita ini diseru peminat agar diteruskan sebab semua orang mahu tahu apa yang terjadi pada Laksamana Sunan dan Haryani. Cinta dalam olahan Ramlee Awang Mursyid bukan tentang cinta gadis atau budak lelaki yang tiada pegangan agama, tetapi cinta seorang lelaki dari zaman Hang Tuah yang mengajar pembacanya agar dekat dengan Tuhan.

Kamu mahu aksi?

Trilogi Bagaikan Puteri cukup rasa gula dan garam dengan babak pertarungan. Membaca novel ini bagaikan kamu terasa kamu diangkat ke zaman itu, zaman lampau di mana pertarungan penuh epik berlangsung di luar apa yang pernah kamu imaginasikan sebelum ini. Ramlee Awang Mursyid tidak pernah gagal dalam aksi, keghairahannya seperti kamu menyaksikan sendiri raksasa syaitan ditumpaskan dengan keris sakti milik Laksamana Sunan. Lagenda Budak Setan? Beat that if you can! Ever! Dan bercakap tentang kelembutan, ah, malas aku nak cerita kamu bacalah sendiri. Kamu pasti tersenyum membaca bagaimana seorang lelaki sehebat itu mampu jadi selembut sutera di hadapan wanita bila pegangan agama sentiasa di dada.

Jangan risau, aku akan tonton juga filem Lagenda Budak Setan. Aku menyokong industri filem Melayu (?). Tapi aku akan ke panggung dengan penuh 'senjata' untuk membaham filem ini. Aku akan maafkan kesalahan-kesalahan kecil, tapi jika flaws yang terlampau aku takkan teragak-agak untuk membedil habis-habisan.


(lagenda? aku tidak tahu apa yang lagendanya....)


(ini baru lagenda!)

Maaf Ahadiat Akashah, "You're just not my cup of coffee kind of writer!"

p/s: atau aku hanya ke panggung semata-mata untuk menonton Lisa Surihani. siapa tahu?




Semalam yang dingin. Mungkin kerana terlebih tidur petang dan aktiviti yang malam yang padat, mata susah sekali hendak lelap. Penat berbaring tapi masih terkebil-kebil memandang siling, "Ah, tak boleh jadi." Lalu aku keluar melepak di tangga melihat malam yang sejuk. Tak ada banyak bintang pun. Tidaklah indah tetapi cukup untuk menyejukkan jiwa yang sedikit kusut. Fikiran cuba menghuraikan persoalan satu demi satu, tapi kondisi badan langsung tidak membenarkan. Aku letih, luar dan dalam.

Mencari teman bercakap pun, dia sudah tidur. 3.55 pagi. Takkanlah aku nak kejutkan dia semata-mata aku tak bolek tidur?

Jadinya aku kembali ke bilik. Membelek-belek CD filem-filem yang pernah aku burn lama dulu. Jari aku terhenti pada satu CD. Tersenyum. Kenapa terasa ingin menonton filem ini sangat-sangat pada saat ini? Ada memori yang berkisar pada filem ini. Masih ada sejarah yang tertinggal. Sejarah yang tak pernah padam dari kotak ingatan. Sebuah peristiwa yang masih segar berlegar di tubir mata.

"Taiyou No Uta." Lagu Matahari. Itu nama filemnya.

Sebuah filem sedih tentang seorang gadis lembut, Kaoru Amane yang mempunyai penyakit XP. Dia tidak boleh terkena cahaya matahari. Maknanya, hidupnya hanya bergantung pada kehidupan malam. Kalaupun dia tidak tidur di waktu siang, dia hanya mampu menatap dunia hanya melalui cermin jendela. Itupun langsir menutup seluruh biliknya dan dia hanya membiarkan sedikit cahaya masuk, untuk merasakan kewujudan cahaya sebelum dia pergi. Tapi persahabatan dan cinta mengubah semua itu.

Fujishiro Koji, lelaki yang telah kehilangan azam untuk berjaya, mengubah persepsi hidup Kaoru. Dengan hanya kurang 10 jam waktu malam yang ada, Fujishiro membawa Kaoru mengenali dunia yang tidak pernah diterokainya. Dunia yang tidak pernah sekali pun diimpikan gadis yang tidak pernah menjejak tanah di waktu siang tanpa memakai topeng seperti angkasawan. Kaoru dibawa ke pantai, pekan yang penuh dengan cahaya dan akhirnya ke satu tempat di mana Kaoru akhirnya berjaya menemui 'kehidupannya', di jalanan.

Di jalanan, dia bermain gitar dengan hati. Fujishiro menjadi peminat pertamanya. Hinggalah beratus orang yang lalu lalang di situ sanggup berdiri mendengar lagu yang dimainkan Kaoru. Lagunya bukan untuk duit. Lagunya bukan jua mencari populariti. Lagunya dari hati tulus sucinya. Dia hanya mahu meluahkan rasa hidupnya sebelum dia pergi, kerana dia tahu masanya semakin hampir. Sakitnya semakin tidak tertanggung untuk ditahan. Bila kebahagiaan mula menjelma, sinar hitam semakin dekat menyinari matahari pagi.

Dan sewaktu saat-saatnya hampir tiba, Kaoru membuat satu permintaan pada Fujishiro dan keluarganya. Dia ingin ke pantai dan melihat Fujishiro bermain papan luncur di pantai pada waktu siang. Dengan separuh hati, permintaan itu ditunaikan. Kaoru terpaksa berkerusi roda dan berpakaian seperti angkasawan. Dan tidak lama selepas itu Kaoru tidak lagi bangun bersama matahari yang terbenam. Dia tidak lagi bangun selamanya. Hanya sekadar lagunya yang tersimpan kemas di dalam sebuah album bernama Goodbye Days. Selamat Tinggal Siang.

Aku harus akui filem ini meruntun jiwa aku untuk selama ia berlangsung. Tidak sekalipun angin malam yang menyapa bahu mengubah anak mata dari terus merenung skrin. Sebenarnya aku tersentuh dengan keberanian Kaoru terus memberi sinar pada Fujishiro, walaupun dirinya sendiri tiada lagi harapan untuk dikejar. Hari esok yang tidak lagi menjamin apa-apa. Dan Fujishiro? Bagi aku, dia sudah cukup sempurna untuk 1% dari kebahagiaan sementara yang pernah dikecapi Kaoru. Cinta? Ini lebih bermakna dari cinta. Cinta yang dimulai dengan pengorbanan dan berakhir dengan pengorbanan.

Aku tidak tahu samada aku mampu menjadi seperti Fujishiro yang mampu bersama kamu hanya pada waktu malam.

Aku tidak tahu samada aku mampu menjadi seperti Fujishiro yang menolak kerusi beroda Kaoru untuk membawanya melihat pantai pada hari siang.

Aku tidak tahu samada aku mampu menjadi seperti Fujishiro yang mampu bersama kamu menempuhi hari-hari yang sukar dalam hidup kamu.

Aku tidak tahu samada aku mampu menjadi seperti Fujishiro yang terus mengenang Kaoru dai lagunya walau bertahun sudah berlalu.

Dan sepanjang filem ini, hanya kamu yang aku fikirkan. Mungkin Matahari Malam tidak bersinar seperi matahari siang, tapi ia juga punya kebahagiaan sendiri. Cuma aku dan kamu perlu melihat itu. Jarak kita jauh, tapi aku percaya kamu dekat di sini, di dada di sebelah jantung. Tidak perlu aku menyatakan sayang berjuta-jutaan kali kerana kamu sudah tahu, dan kamu sudah merasainya.

Tanamlah jujur, semaikanlah setia, dan bajailah percaya pada aku. Aku akan datang membawa cinta aku untuk kamu.

ZER, Kamu..... Matahari Siang dan Malam aku. Sama seperti Kaoru untuk Fujishiro.







Semalam, sambil berborak-borak dengan kawan aku di YM, dia terbuka satu kisah lucu tentang abang dia. Awalnya, kisah abang dia ni tentang dia nak kahwin lagi sebulan, tapi mungkin disebabkan kepala dia tengah sarat berfikir tentang kahwin, kerja pun dia pun kadang-kala jadi macam-macam hal. Owh, sebelum terlupa abang kawan aku ni kerja reporter, wartawan untuk satu tabloid kat Malaysia ni.

Satu hari tu, dia dapat call dari boss dia.

"Jemi, esok Tun M ada buat conference kat bangunan bla bla bla. Rudi tak dapat nak pegi sebab dia ambil cuti sakit 2 hari. Kau cover cerita tu."

"Hmm, boleh boss. Pukul berapa?"

"Event tu dari pagi sampai petang. Lunch pun dia sediakan sekali. Lepas lunch tu baru ada session untuk press buat liputan."

"Okey."

"Kalau press conference tu dibuat tak formal, macam mana pun kau mesti dapat lines dari Tun. Okey?"

"Okey boss."

Maka, balik kerja petang tu sibuklah abang kawan aku ni pilih baju yang lawa-lawa sikit untuk esoknya memikirkan yang esok dia nak pegi interview bekas perdana menteri Malaysia. Bukan senang weyh nak dapat peluang macam ni. Selalunya pegi interview yang cikai-cikai saja, tapi kali ni peluang terhidang nak bercakap live dengan Tun. Dapat tanya soalan direct pulak tu.

Pagi esoknya, si Jemi ni bangun awal sikitlah dari biasa. Konon takut terlepas sesi event pagi dengan Tun. Pukul 9.00 pagi si Jemy dah tercatuk depan bangunan tu. Masa tu adalah 4 5 orang reporters dari paper lain yang duduk bersidang depan pintu menunggu nak masuk ball room. Dalam hati si Jemi ni memang dah kukuhkan azam, "Walau macam mana ramai reporter lain pun, aku memang nak masuk dekat dengan Tun."

Selepas selesai sesi pagi, semua reporter dijemput untuk makan tengahari. Sebab pagi tadi tak breakfast, memang si Jemi ni kebulur, betul-betul kebulur. Pantang dijemputlah kalau sudah makan free macam ni. Apa lagi, semua makanan dari yang western sampai nothern semua dirembat. Bukan apa, bekalan takut sesi petang jadi lambat. Jadi makan tengahari mesti bantai banyak-banyak, bukan kena bayar pun!

Tengah sedap-sedap makan, tiba-tiba Tun datang ke dining hall para reporter! Suasana yang kelam-kabut dengan reporter yang tengah makan tiba-tiba hingar-bingar sebab semua reporter terus berlari ke arah Tun nak dapat live recording. Bayangkan ada beratus reporter semua berlari dengan pinggan mangkuk menuju ke satu arah. Memang gelabah! Sekejap saja sudut makan tu jadi separuh kosong, sebab masing-masing sibuk pegang tape recorder dan videocam.

Si Jemi ni tengah pegang gelas fresh orange dengan pinggan. Nampak saja semua reporter berlari, dia campak pinggan tu dengan gelas, terus seluk poket ambil tape recorder. Punyalah susah nak menyelit di antara puluhan reporter tu. Tapi si Jemi ni tak nak mengalah. Himpit pun himpitlah, asalkan dapat berita sensasi. Maklumlah kerja reporter memang sentiasa kena dapat isu baru. Apa lagi, tolak punya tolak, asak punya asak akhirnya si Jemi dapat juga hulurkan tangan ke mulut Tun. Masa tu tak fikir apa dah, memang nak soal Tun saja dalam kepala.

Sambil tangan menghulur...

"Tun, apa pandangan Tun tentang isu bla bla bla...?"

Tun pusing saja kepala, alamak, sekali bukan tape recorder yang ada kat tangan si Jemi! Tapi...

SEGELAS AIR FRESH ORANGE YANG SEPARUH PENUH! (sebab dia dah minum tadi!)

Tun terus ambil fresh orange tu dan minum macam biasa.

"Terima kasih."

Gulp! Si Jemi terus mengucap panjang. Tun M minum air lebihan aku?

"Sama-sama." Panik.

Terus si Jemi ni berundur perlahan-lahan takut orang perasan. Beberapa reporter yang lain tercengang-cengang. "Apahal mamat ni hulur air fresh orange dekat Tun?"

Lepas tu, dah confirm muka jadi biru. Macam nak bodek Tun pun ada. Tapi si Jemi ni buat-buat tak tahu saja. Ambil balik dia punya tape recorder yang dia 'rasa' dia dah ambil tadi, baru pegi balik dekat Tun. Dalam pada tu, memang si Jemi ni tersenyum kambing memikirkan macam mana dia boleh terhulur air fresh orange pada Tun dalam keadaan orang lain tengah gelabah nak interview. Memang haru!

Tapi okeylah, sesi interview dengan Tun lepas tu semua berjalan lancar. Kira takde masalah lain. Tapi yang penting, si Jemi sejak perisitiwa tu memang respect habis dengan Tun. Tun tak ada masalah nak berlaku sempoi dengan apa jua keadaan yang datang. Kalau orang lain, entah-entah si Jemi ni dah kena slam free free saja.

Tapi Tun, relax saja minum air tu dan ucap terima kasih. Reporter lain yang tengah interview Tun masa tu pun tersenyum-senyum sebab tak sangka Tun masih cool.

Haih, kalau akulah yang kena macam tu, mau aku lari turun bangunan tu sambil tutup muka. Maluuuu oi!!!!




Aku seharusnya solat asar waktu ini. Tapi keghairahan untuk mencurah idea di sini membuat aku sedikit leka dengan benda bernama blog. Kamu tahu kenapa? Aku dapat idea menulis ini sewaktu sedang menjawab soalan final exam dalam dewan sebentar tadi.

Perasan atau tidak, nama kanak-kanak hari ini semakin lama semakin susah nak disebut dan diingati? Kalau dahulu, paling canggih pun nama budak lelaki orang bagi Danial, Aiman atau yang masih boleh dikira ringkas dan senang untuk diingati. Kalau budak perempuan, nama-nama seperti Nadia, Maizurah itu pun bagi aku sudah cukup sedap didengar dan disebut. Lebih-lebih lagi kalau membawa maksud yang baik, memang selalunya kena dengan sifat dan tingkahlaku serta pembawakan si empunya nama.

Tapi hari ini orang lebih 'gila' meletak nama yang pelik, sukar disebut dan dieja dan kadang-kadang tak membawa apa-apa maksud. Aku hairan juga dari manalah datangnya mazhab yang mengajar ibu-bapa meletak nama anak-anak atas dasar ingin berbangga dengan rakan-rakan. Atau kerana minat yang melampau-lampau pada sesuatu atau seseorang, hinggakan nama anak sendiri mesti kalau tak banyak, ada sedikit iras-iras dengan sesuatu yang diminati itu.

Kamu mahu contoh? Cuba sebut nama-nama ini.

Nurkhylia Tania Artisha.

Kheressa Lylia Mayang Sari.

Astaizah Mumtaz Ibhan Felicia Asmara.

Rizki Langit Ramadan.

Danish Ben Pierre Andre.

Reeve Damien Cahaya Deeni.

Fea Eryssa Indah Fitriati.

Teguh Budiman Armand Azhari Ahzad Ahlami.

Irisha Myra Sania Samara.

Aaron Alban Leroy Fariq Haizen.

Fildza Haifa Citta Karamina Kaisara Kamelia.

Ibnu Iqbal Socrates Dylan Rumi.

Joaquin Indot Jeremy Jeffrey.

Rezarin Rezaimen Keiflin Armada Jiwa Rifdhi.

Khadeeja Zaireen Murshim Luth Mikhail.

Bagaimana? Tak terasa tergulung-gulung lidah nak menyebutnya? Dan sebenarnya, nama-nama ini memang nama-nama orang Melayu kita. Tak ada yang bukan Melayu. Memanglah meletakkan nama anak-anak itu hak ibu-bapa, tapi bagai sudah lari jauh dari tujuan asal sebagai panggilan serta secara tidak langsung sebagai doa untuk si polan si polan, sesuatu harus diubah di sini, dalam norma masyarakat kita.

Mungkin harus diberitahu bahawasanya nama yang diberi haruslah punya maksud yang baik. Bukan apa, nama itu akan berulang-ulang kali disebut oleh ibu dan bapa, guru-guru, rakan-rakan. Makanya kalau nama pun sudah punya maksud yang tidak baik, atau langsung tidak ada makna, maka rugilah satu doa yang berterusan itu.

Namun begitu, tidak salah untuk meletakkan nama yang unik dan menarik. Cuma pastikan setiap nama itu punya maksud yang baik. Cantik tetapi tiada maksud, apalah gunanya? Lagi satu aku perasan, fenomena ini berlaku (maaf kata) pada orang yang pada pendapat aku kurang jua ilmu pengetahuan tentang agama. Bukanlah mengatakan aku ini alim atau serba tahu, tetapi apa salahnya bertanya pada yang lebih arif atau sekurangnya bacalah buku untuk memilih nama yang baik.

Mungkin generasi kita sudah 'kaya' dengan nama-nama pengaruh sumbangan budaya barat dan timur. Tapi kekalkanlah apa yang kita ada, itu lebih baik. Lagipula, memang nama-nama orang Melayu itu sudah asli dan indah bahasanya. Memang kena dengan kita. Tak ada hebatnya mengagung nama dari budaya lain. Mungkin sebab kita merasa lebih gah bila berdiri dan bertunjangkan adat resmi orang lain, inilah sikap Melayu. Yang harus diubah....

p/s: risau bila anak cucu yang buta ilmu letak nama 'Vanilla Ice' sebab bunyi macam sedap!


daun hijau

daun hijau

ilustrasi pensil & cinta

Projek ini sudah lama aku rancang, tapi hingga saat ini baru diberikan sedikit kekuatan, ruang dan masa untuk benar-benar merealisasikannya.

Baru saja bermula, InsyaAllah sedikit demi sedikit projek ini akan aku usahakan dan sampai waktunya nanti, akan aku dedahkan secara umum matlamat dan hasil sebenar projek ini pada sahabat, kawan dan rakan-rakan bloggers.

Ianya projek yang ringkas, tapi amat sangat bermakna untuk kersani. Harap kalian sabar menunggu.

kira ulat

kroni ulat hijau

ulat hijau

tiga

tiga

rendam

rendam

sembang ulat


ShoutMix chat widget

pustaka ulat

FEEDJIT Live Traffic Feed